KANGAR 29 Jan. – Jumlah pesakit diabetes atau kencing manis di Perlis melonjak lebih 100 peratus sejak lima tahun lalu. Punca utama berlakunya masalah itu adalah kerana budaya mengambil gula secara berlebihan sama ada melalui makanan mahu pun minuman.
Diabetes ialah satu keadaan di mana kandungan gula dalam darah seseorang melebihi paras normal untuk jangka masa yang panjang.
Masalah itu berlaku apabila pankreas gagal menghasilkan insulin yang mencukupi atau tubuh tidak dapat menggunakan insulin yang dihasilkan dengan berkesan.
Berpandukan perangkaan terakhir sepanjang 2009, Jabatan Kesihatan Perlis merekodkan, terdapat sebanyak 10,338 kes diabetes aktif di negeri ini berbanding cuma 4,464 kes sepanjang 2005.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu yang bimbang dengan masalah itu memberitahu, sepanjang 2008 pula, warga Perlis yang disenaraikan aktif menerima rawatan diabetes ialah sebanyak 9,039 orang.
Jumlah tersebut katanya, ternyata lebih tinggi berbanding 8,059 orang pada tahun 2007 dan 4,095 orang direkodkan sepanjang 2006.
“Peningkatan itu turut dikesan bagi kes-kes pesakit diabetes baru di Perlis. Daripada 1,099 kes baru yang dikesan pada 2005, ia telah naik kepada 1,290 kes sepanjang 2006.
“Bagi tahun 2007 dan 2008 pula, ia merekodkan sedikit penurunan iaitu 1,239 orang sepanjang 2007 dan 1,190 orang pada 2009. Namun begitu ia melonjak ke angka 1,740 orang sepanjang 2009,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini.
Md. Isa memberitahu, faktor utama yang menyebabkan warga Perlis mudah menghidap diabetes adalah kerana kadar pengambilan gula harian mereka hampir empat kali ganda lebih tinggi berbanding kehendak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Berpandukan kajian dan statistik kata beliau, rakyat Perlis mengambil 26 sudu gula setiap hari berbanding sepatutnya hanya tujuh sudu.
“Saya mahu mengingatkan semua pihak, gula adalah ibu kepada pelbagai penyakit. Salah satu daripadanya ialah diabetes atau kencing manis.
“Diabetes juga merupakan penyebab utama kerosakan buah pinggang dan ia telah menyebabkan kematian 20 hingga 20 peratus penduduk dunia,” ujarnya.
Menyentuh kes obesiti atau berat badan berlebihan di Perlis pula, Menteri Besar itu memberitahu, ia turut menunjukkan peningkatan yang terlalu ketara sejak tahun 2005.
“Sepanjang 2005, bilangan kes obesiti yang dikesan di negeri ini cuma 532 orang, kemudian naik ke angka 690 orang (2006), diikuti 1,543 kes (2007), kemudian 2,747 (2008) dan 2,884 kes sepanjang 2009.
“Selain itu, bilangan kes dengan masalah berat badan berlebihan juga melonjak. Daripada 1,087 kes pada 2005, naik kepada 2,322 kes (2006) diikuti 827 kes (2007) kemudiannya 2,777 kes (2008) sebelum ke angka 2,354 kes sepanjang 2009,” ujarnya.
Bagi mengatasi masalah yang timbul, kerajaan negeri telah mengadakan Kempen Kurangkan Penggunaan Gula Peringkat Negeri Perlis yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di The Store di sini baru-baru ini.
Empat objektif utama bagi kempen itu adalah seperti berikut;
- Meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pengguna mengenai kesihatan dan budaya pemakanan yang sederhana.
- Mendedahkan masyarakat mengenai bahaya produk-produk makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.
- Mendidik pengguna mengenai perlunya bersikap waspada dan kritikal terhadap pemilihan makanan yang berada di pasaran.
- Menggalakkan pengguna membaca label kandungan pada produk supaya mereka mengetahui nutrien serta zat-zat yang diambil setiap hari agar dapat mengamalkan cara pemakanan seimbang.