UTUSAN MALAYSIA - 14 JANUARI 2010
Kempen kurang gula diperhebat

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 13 Jan. - Kabinet hari ini mengarahkan kempen mengurangkan pengambilan gula diperhebatkan di kalangan rakyat dengan menguar-uarkan implikasinya dari aspek kesihatan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) berkata, serentak itu kementeriannya akan bergabung tenaga dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk menjayakan matlamat itu.

"Ini ditegaskan Kabinet supaya peringatan program-program untuk rakyat diteruskan membabitkan amalan penjagaan kesihatan sepanjang masa.

"Ia akhirnya nanti dapat mengurangkan pergantungan kepada subsidi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini mendakwa rakyat Malaysia adalah pengguna gula tegar di Asia Tenggara dengan pengambilan 26 sudu teh gula sehari.

Perkara itu amat serius kerana negara ini dilaporkan menduduki tangga keempat daripada jumlah pesakit diabetes tertinggi di Asia.

Kajian Kementerian Kesihatan menjangkakan 2.5 juta rakyat negara ini akan menghidap diabetes menjelang 2030.


Sumber : Utusan Malaysia